Wednesday, November 4, 2009

JIM setuju Dr Asri diberi tauliah

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), yang menentang Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik mengetuai sebuah yayasan Islam berpengaruh, bersetuju jika bekas mufti itu diberikan tauliah mengajar di Selangor.

"Kalau beliau ada kelayakan itu, maksudnya beliau layaklah untuk diberi tauliah. Beliau kena ikut apa kelayakan yang perlu daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)," kata presiden JIM Zaid Kamaruddin.

"Macam sesiapapun yang hendak mengajar, kenalah minta tauliah daripada mana-mana jabatan agama dan kena melalui proses untuk ambil tauliah."

JIM bersama sejumlah NGO Islam membantah Dr Mohd Asri dilantik mengetuai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), badan yang dinaungi kerajaan, dengan alasan antaranya beliau "seorang yang tidak berhemah" dan "tidak berhikmah."

"(Idea) Dr Asri seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulama an NGO Islam arus perdana.

"Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama Majlis Amal Islami Malaysia di bawah naungan Yadim yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

"Pelantikan Dr Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui Yadim.

"Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulama tertentu juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulama dan mufti-mufti negeri lain.

"Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrontasi secara terbuka tanpa menitikberatkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya.

"Semasa menjawat jawatan mufti kerajaan negeri Perlis, beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat kebangsaan dan sentiasa lari daripada berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media," memorandum bantahan itu dipetik.

Memorandum bertarikh 12 Oktober itu disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini - tidak lama sebelum bekas mufti Perlis itu ditangkap dan disiasat oleh Jais, hujung minggu lalu.

Dr Mohd Asri disiasat berhubung kuliahnya di sebuah banglo di Hulu Kelang atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Bagaimanapun JIM menolak andaian wujudnya hubungan antara memorandum kepada Agong itu dengan penahanan yang dibuat Jais.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Zaid berkata kandungan memorandum berkenaan sebagai protes berasingan berhubung tawaran jawatan yang dipertua Yadim kepada Dr Mohd Asri.

"Ini tidak berkait secara langsung dengan penahanan tersebut," katanya. "Sememangnya kita berpandangan beliau tidak sesuai dengan jawatan berkenaan."

Beliau diminta mengulas perkara tersebut apabila timbul cakap-cakap yang cuba mengaitkan isu memorandum bantahan itu dengan siasatan terhadap agamawan itu.

Selain JIM, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan juga Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Wilayah Persekutuan antara 13 NGO yang menandatangani memorandum berkenaan.

Mengulas kontroversi penangkapan Jais itu, Zaid berkata JIM bagaimanapun kesal dengan tindakan itu dan menyifatkannya sebagai "pendakwaan memilih-milih".

Tambahnya, jabatan itu sepatutnya lebih berhati-hati dalam mengambil tindakan terhadap Dr Mohd Asri walau Jais mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.

"Kita tahu memang Jais ada kuasa untuk tangkap orang, tetapi betulkah semua penceramah di semua masjid di Selangor ini ada tauliah?" katanya lagi.

Diambil dari Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/116615

No comments:

Post a Comment