Monday, May 24, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 11

Siapakah dia ibnu Khaldun? Beliau adalah ahli Sosiologi yang tersohor dan mendahului zamannya. Beliau juga menggariskan pelbagai teori ekonomi sebelum negara-negara barat meletakkan dasar ekonomi mereka tiga abad selepas Ibnu Khaldun. Beliau juga telah meletakkan beberapa teori pensejarahan yang turut mempengaruhi jalan berfikir guru besar sejarah Arnold Toynbee.

Aku tidak akan mengupas sumbangan-sumbangan pemikiran Ibnu Khaldun dalam makalah yang kecil ini. Aku hanya akan menyentuh satu aspek sahaja dari pemikiran Ibnu Khaldun iaitu berkaitan dengan bangsa dan tamaddun. Kekuatan bangsa adalah teras kepada suatu tamaddun. Jatuh bangun sesuatu tamaddun di topang atau ditumbangkan oleh bangsa yang mempelopori tamaddun tersebut. Di dalam kitabnya 'Kitab-ul-iktibar', Ibnu Khaldun mengatakan apabila sebuah masyarakat sampai kepada kemuncak kejayaannya, maka dia akan melalui fasa kejatuhan dan keruntuhannya. Pemerhatian inilah yang dirumuskan dalam teori kitaran tamaddun 'the cycle of civilzation' yang turut dikupas oleh Arnold Toynbee 'A study of history'. Justeru dekatnya kaitan di antara bangsa dan jatuh bangunnya tamaddun itu maka Arnold Toynbee mengatakan 'Civilization die from suicide, not from murder'. (Tamaddun mati kerana membunuh dirinya, dan bukan kerana dibunuh).

Ibnu Khaldun ada mengupas tentang bangsa Quraish yang menjadi teras kepada tamaddun Islam. Kekuatan yang ada pada bangsa Quraish adalah faktor penting kepada pembinaan tamaddun Islam. Begitu juga kekuatan yang ada pada bangsa Turki yang menjadi teras kepada Khilafah Uthmaniah yang berlangsung dari tahun 1517 hingga 1924. Sebagai seorang ahli sosiolog yang jempul, beliau melihat dinamika yang wujud dalam sesebuah masyarakat dan merumuskan apakah faktor-faktor kejayaan dan kekuatan sesuatu bangsa. Bangsa Quraish punya semua ramuan untuk membangun sebuah tamaddun Islam yang unggul. Begitu juga bangsa Turki (seljuk) dalam membangun khilafah utsmaniyah. Faktor 'quwwah' yang ada pada bangsa ini menjadikan ia bangsa yang dipandang tinggi oleh manusia. Ia menjadi faktor penyatu. Ibnu Khaldun mengatakan adalah menjadi tabiat manusia sepanjang sejarah untuk tunduk dan meniru bangsa yang menguasai mereka samada secara kekerasan fisik mahupun kerana keterampilan bangsa itu baik dari segi kekuatan ketenteraannya, ekonominya atau budaya ilmunya. Inilah jugalah faktor kejayaan Rom, Byzantium, Sasanid (Farsi), Yunani, Macedonia, Empayar Seberang laut Portugis, Sepanyol, Peranchis, German, Belanda, Empire British, sehingga kini Soviet Russia dan Amerika Syarikat.

Sekarang mari kita ulas pandangan Ibnu Khaldun tentang hubungan bangsa dan tamaddun. Pemerhatian Ibnu Khaldun adalah tepat. Jika teori hubungan di antara bangsa dan tamddun ini dilihat dari perspektif Kitab-ul-iktibar maka tidak wujud percanggahan samasekali. Bangsa Quraish berjaya membina tamaddun Islam yang gemilang bukan kerana mereka bangsa Quraish semata-mata tetapi kerana quality yang ada pada bangsa Quraish. Quality itu diwarisi oleh orang Quraish dari Islam. Dalam ertikata yang lain, orang Quraish menjadi bangsa yang hebat kerana Islamnya. Buktinya sebelum Islam, orang Quraish ialah bangsa yang hidup di tengah-tengah bumi gersang yang tidak dipedulikan kehadirannya di saat dua gergasi besar dunia iaitu Rum dan Farsi sedang bertarung untuk dominasi hegemoni politik. Apakah orang Quraish berjaya mengekalkan kehebatan ini? Tidak! Apabila orang-orang Quraish yang berqiblat kepada Islam beralih kepada kecenderungan dan kesetiaan kabilah maka bibit-bibit kehancuran mulai menggigit kekuatan bangsa Quraish. Kepimpinan mula diwarisi oleh Bani Ummayah. Wajah Assobiyah yang huduh mula melemahkan kesatuan umat Islam sama seperti yang mereka deritai sejak zaman jahiliyah. Perpecahan dan peperangan yang tercetus di antara Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah tidak ubahnya apa yang menimpa kabilah Arab jahiliyah dan juga perseturuan di antara Aus dan Khazraj sebelum mereka disatukan oleh Rasulullah SAW atas dasar Islam.Apabila kepimpinan politik beralih kepada Bani Abbasiyah kubur-kubur keluarga Ummaiyah dibongkar dan tulang-temulangnya dipukul dgn melempias dendam yang membara kerana perseturuan kabilah dan Assobiyah.Lengkapla h satu kitaran tamaddun yang digariskan oleh Ibnu Khaldun. Tamaddun Islam bangkit dan gemilang di tangan orang Quraish kerana Islam tetapi tamaddun itu merudum dan hancur ditangan orang Quraish kerana Assobiyah. Tepatlah apa yang dikatakan oleh Arnold Toynbee 'Tamaddun mati kerana membunuh dirinya dan bukan kerana dibunuh'
Apakah yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah? Untuk mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan ini jatuh disebabkan oleh satu atau dua faktor adalah terlalu simplistik. Sebenarnya banyak faktor yang saling kait mengait yang membawa kepada kejatuhan dinasti-dinasti yang pernah berkuasa di dunia samada Islam atau bukan Islam. Bani Umayyah dan Abbasiyah turut melahirkan pahlawan-pahlawan Islam yang boleh dibanggakan. Siapa yang tidak mengenali Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang digolongkan bersama khulafa ar-Rasyidah yang empat kerana wara' dan zuhudnya. Begitu juga Khalifah Harun ar-Rasyid dan Ma'moun yang terkenal dengan kealiman dan kebijaksanaan serta keadilan mereka sehingga meninggalkan legasi dalam sejarah Islam. Tetapi kehairan-kehadiran pahlawan-pahlawan ini tidak cukup untuk menahan arus keruntuhan dan 'decay6' yang sudah mula menggerogoti umat Islam dari dalam.


Apa yang bolih kita pelajari dari Kitab-ul-iktibar dan Muqaddimah Ibnu Khaldun ialah setiap tamaddun ada fasa kebangkitan dan kejatuhannya. Kebangkitan dan keruntuhan itu boleh disandarkan kepada beberapa faktor. Kebangkitan itu sendiri boleh dilihat dari pelbagai sudut, apakah dari sudut kerohanian atau kebendaan. Contohnya zaman Abbasiyah diberi jolokan zaman keemasan (the golden period of Islam). Namun apakah kayu ukur yang digunakan di dalam Islam untuk menilai sesuatu kejayaan. Pastinya pencapaian kebendaan dan infrastruktur bukan nilaian sebenar kemuliaan sesuatu kaum menurut kayu ukur Islam. Bahkan kebangkitan yang berdiri di atas ukuran 'maddi' (kebendaan) di dalam Islam yang tidak seiring dengan kemajuan kerohanian sebenarnya adalah petanda awal kepada kejatuhan dan keruntuhan. Graf menaik itu hanya menjadi impetus yang akan menyebabkan tamaddun itu lebih meluncur laju menuju kebinasaannya.


Apakah yang membawa kepada kejatuhan bani Abbasiyah. Apakah didorong oleh faktor kegersangan kerohanian atau sifat assobiyah yang melulu atau perselisihan kekeluargaan? Ini sebenarnya memerlukan penilitian analisis sejarah yang mendalam. Yang pasti Khalifah Abbasiyah tidak mininggalkan warisnya apabila ia berakhir di hujung pedang Monggol. Jadi jika ditilik dari peristiwa tragis ini pastinya zaman keemasan tidak selayaknya dipakaikan kepada Khilafah Abbasiyah. Masakan Zaman Abbasiyah namanay apabila tidak mampu berdepan dengan orang-orang gasar (barbarian) yang menghabiskan hidupnya di atas pelana kuda sepanjang masa!. Orang-orang gasar ini langsung tidak meletakkan sebarang nilai kepada jutaan helaian kertas yang dinukil seribu satu hikmah dan ilmu oleh para ulama dan sarjana sehingga mereka longgok untuk sekadar dibuat jambatan bagi menyeberangi Sungai Furat...


Mari kita buat perbandingan di antara zaman permulaan Islam dengan zaman pencapaian Bani Abbasiyah. Rasullullah SAW membina suatu komuniti yang terdiri dari kaum keluarga dan sahabat rapatnya. Apabila datang seruan untuk menyampaikan risalah secara terbuka maka Rasulullah SAW pun berdiri di bukit Safa dan menyeru 'Wahai Fatimah, Wahai Banu Hasyim, Wahai Banu Abdul Mutallib, Wahai banu sekian dan sekian.. kepada Islam. Setengah pihak menjadikan ini sebagai sandaran bahawa di dalam Islam ada Assobiyah dan Rasulullah mengambil kira faktor Assobiyah untuk menguatkan Islam. Ini adalah hujah yang paling pelik yang kita pernah dengar. Rasulullah SAW menyeru kepada kaum kelaurganya terlebih dahulu adalah suatu yang dijangka. Adalah satu yang tabii bagi sesiapa jua untuk menyampaikan berita gembira dan ancaman seksa kepada kaum keluarganya kerana hubungan silaturrahim yang wujud di antara anggota keluarga. Natijahnya kita melihat sebahagian besar dari keluarga Rasulullah SAW menolak risalah baginda, bahkan salah seorang dari bapa saudaranya menjadi gembong (ketua) kepada gerakan anti Rasulullah SAW. Kita lihat pula siapa yang menerima ajakan Rasulullah SAW. Di antaranya ialah Bilal Ibnu Rabah orang Habsyah (satu kaum dengan Abrahah). Salman al-Farisi orang Farsi yang menghabiskan usia remaja nya mengembara mencari seorang insan yang bernama Ahmad. setelah melalui pelbagai mehnah akhirnya beliau tercampak ke Yathrib dan orang yang begitu teruja memanjat pokok kurma untuk menyambut seorang nabi yang dijanjikan semasa peristiwa hijrah. Umar al-Khattab dari Banu Adi beriman setelah memusuhi dan berniat untuk membunuh Nabi SAW. Di antara mereka adalah hamba sahaya seperti Yassir, Summayah dan anak mereka Ammar bin Yasser. Di antara merek adalah orang Rum (Byzantin) yang bernama Suhaib ar-Rumi. Kita lihat pula siapa yang menentang Nabi SAW. Di antara keluarga yang berada di barisan hadapan menentang Rasulullah adalah Bani Umayyah. Mereka ini juga tergolong dalam Bani Hashim. Abu Sufyan bin Harb, Hindun Bte Utbah, Al-Walid bin Utbah, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabi'ah. Semasa perang Badar tiga beranak tampil mencabar tentera muslimin untuk bertarung seorang dengan seorang. Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan al-Walid bin Utbah mencabar supaya tampil 3 orang pemuda untuk bertarung secara 'deul'. Tampil lah 3 orang pemuda ansar. Lalu mereka berkata 'kami mahu dari kalangan keluarga kami'. Muncullah ahli keluarga Banu Hasyim iaitu Hamzah bin Abdul Mutallib, Ali bin Abu Talib dan seorang lagi (nanti disemak nama beliau). Pertarunagn ini berakhir dengan tewasnya ketiga-tiga pemuda quraish dan seorang dari pahlawan Islam syahid.


Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Assobiyah tidaklah menjadi keutamaan dalam Islam. Yang ada ialah silaturrahim. Dan silaturrahim itu akan terlerai apabila iman dan kufur menjadi batasannya.


Lalu dihujahpun pula kes Hatib bin Abi Balta'ah yang membocorkan rahsia kepada orang-orang Quraish tentang perancangan Rasulullah SAW untuk menuju Mekah dalam peristiwa Fathul Makkah. Perbuatan ini diketahui oleh Rasulullah SAW dan Umar menawarkan untuk memenggal Hatib bin abi Balta'ah. Lalu Nabi melarang Umar. Mereka berhujah Nabi melarang Umar untuk membunuh Hatib kerana hubungan Assobiyah yang wujud di antara Hatib dan keluarganya. Mereka menjadikan ini sandaran untuk menyokong hujah dangkal mereka bahawa Assobiyah adalah faktor penting dalam Islam. Ini hujah oarng tak habis mengaji. Apa yang sebenarnya berlaku ialah Nabi melarang Umar meneruskan niatnya untuk membunuh Hatib dengan mengingatkan Umar. Wahai Umar, Kamu lupakah Hatib ini ahli Badr? Ahlul Badar diampunkan dosanya oleh Allah SWT. Jadi perkiraan Nabi adalah berdasarkan kepada status Hatib sebagai ahlul Badar bukan kerana hubungan Assobiyah di antara beliau dan kelaurganya.


Dalam peperangan Badar, 70 orang Quraish tertawan dan mereka ini semua mempunyai hubungan kekerabatan dengan umat Islam. Syura di antara Rasulullah SAW dan para sahabat besar memutuskan bahawa mereka bolih menebus diri mereka. Tetapi Umar berpandangan lain. Mereka patut di bunuh. Ternyata pandangan Umar adalah lebih benar berdasarkan kepada wahyu yang tuirun selepasnya. Rasulullah SAW dan Abu Bakar menangis apabila turunnya ayat yang mengabsahkan pandangan Umar. Jika mereka ini dilepaskan atas dasar Assobiyah mengapa Allah mengatakan mereka sepatutnya dibunuh. Bahkan dua orang tawanan memang dihukum bunuh. Salah seorang darinya adalah merupakan musuh besar kepada Rasulullah SAW yang bernama An-Nadhir bin Al-Harith. An-Nadhir mempunyai seorang adek di kalangan muslimin. apabila An-Nadhir merayu kepada saudaramnya, saudaranya membalas balik 'saudaraku ialah mereka yang kini menawan engkau'


Wahai adek-adek dan anak-anakku, hujah aku belum habis lagi. Tapi setakat ini terserlahlah sudah betapa dangkal nya hujah puak yang mendukong fahaman Assobiyah. wahai adek-adek dan anak-anak ku jangan hanya mendengar. Mulai saat ini bacalah kitab-kitab seerah (bukan 1 bukan 2 kitab seerah - bacalah berpuluh-puluh kitab seerah agar engaku tidak terpengaruh dengan hujah hujah muluk golongan yang keliru. Jangan biarkan dirimu menjadi tawanan mereka. aku tidak menyuruh kalian meninggalkan jamaah kalian. Aku hanya mengingatkan kalian, kalian punya tanggungjawab untuk membetulkan kepimpinan kalian!


Mereka berhujjah lagi Rasulullah SAW berdakwah kepada orang-orang Quraish pada peringkat awalnya dan ini dijadikan sebagai sandaran bahawa Assobiyah adalah sangat diutamakan di dalam dakwah. Wahai anak-anak dan adek-adek ku, mari kita renung dengan fikiran yang jernih. Siapakah yang berada di bumi Mekah ketika itu? bukankah mereka itu semuanya orang Arab dari suku Quraish? Dan kepada persoalan bahawa Bani Hashim menjadi sasaran utama dakwah Rasulullah SAW, mari kita lihat senarai 52 orang yang pertama masuk Islam di Mekah. Mereka ini adalah kelompok yang menerima dakwah Rasulullah SAW semasa fasa dakwah sirriyah belum lagi fasa jahriyah - fasa dakwah terbuka.


Senarai ini aku dapat dari buku 'The Meccan Crucible' tulisan as-Syeikh Zakaria Bashir. Buku inilah yang menjadi rujukan ayah-ayah engkau orang pada tahun 70'an dan 80'an dahulu. Cuba lihat perpustakaan di rumah. kalau ayah engkau kenal dakwah di UK pada era itu most likely buku ini ada dalam simpanan di rumah.




Suku
1. Khadijah Bte Khuwailid Asad


2. Ali bin Abi Talib Hashim


3. Zayd bin Harithah Hashim
(sekutu)


4. Abu Bakar b Abi Quhafah Taym


5. Uthman bin Affan Abd Shams


6. Az-Zubayr al-Awwam Asad (bukan Quraish)


7. Abd Rahman bin Awf Zuhrah


8. Saad bin Abi Waqash Zuhrah


9. Talhah bin Ubaidullah Taym


10. Abu Ubaidah al-Jarrah Fihr


11. Abu Salamah Abd Asad Makhzum


12. Al-Arqam bin Abi Al-Arqam Makhzum


13. Uthman Maz'un Jumah


14. Qudamah b Maz'un Jumah


15. Abdullah b Maz'un Jumah


16. Ubaidah al-Harith Mutallib


17. Said b Zayd Adi


18. Fatimah al-Khattab Adi


19. Asma Abu Baqr Taym


20. Aishah Abu Baqr Taym


21. Aishah Abu Baqr Taym


22. Kabbab al-Arats Zuhrah (sekutu)


23. Umayr b Abi Waqash Zuhrah


24. Amir b Abi Waqash Zuhrah


25. Abdullah b Mas'ud Zuhrah


26. Abdullah b Jash Khuzaymah (bukan Quraish)


27. Abu Ahmad bin Jash Khuzaymah (bukan Quriash)


28. Jaafar Abi Talib Hashim


29. Asma bnit Umays Khath'am (bukan Quraish)


30. Hatib b al-Harith Jumah


31. Fatimah bint al-Mujallah Jumah


32. Hatab al-Harith Jumah


33. Fukayhah Yasar Jumah


34. Mu'amar al-Harith Jumah


35. al-Sa'ib b Uthman Maz'un Jumah


36. al-Mutallib al-Azhar Zuhrah


37. Ramlah bint Abi Awf Sahm


38. An-Nahham Adi


39. Amir b Fuhayrah bukan Arab


40. khalid b Said Abd Shams


41. Umaynah bint Khalaf Khuzaah (bukan Quraish)


42. Hatib Abd Shams Amir


43. Abu Huzayfah Abd Shams


44. Waqid b Abdullah Adi


45. Khalid al-Bukkayr Adi (sekutu)


46. Amir al-Bukayr Adi (sekutu)


47. Iyas b Bukayr Adi (sekutu)


48. ammar bin Yassir Makhzum (sekutu)


49. Suhayb b Sinan Bukan Arab


50. Yasir al-Ansi Dari Yemen (Muzhij)


51. Sumayyah Bint Khayyat Bukan Arab


52. Bilal b Rabah Bukan Arab




Ok mari kita scan senarai ini. Berapakah dari mereka yang mula-mula menerima dakwah Rasulullah SAW dari suku (bani) Hashim. Hanya 3 dari 52 orang! (6% sahaja). Bilangannya sama dengan suku Makhzum (suku atau keluarga Abu Jahl). Bahkan dalam senario di mana majoriti penduduk Mekah adalah orang Arab terdapat 3 orang bukan Arab di dalamnya. Aku ajak kamu renung dengan fikiran yang terbuka. Ini adalah fasa dakwah secara rahsia.


Mari kita buat satu andaian secara hypothetical. apa kata suku-suku itu kita tukar kepada melayu, cina, india, iban, kadazan-dusun, melanau, murut dan yang lain-lain. Maka kita akan dapati satu senarai yang rencam. Pengajarannya Islam ini adalah untuk semua. Dakwah kita kepada seluruh manusia bukan kepada kaum-kaum yang tertentu sahaja. Maka dari mana dakwaan yang mengatakan 'dakwah kepada orang Cina tidak relevant lagi di Malaysia. Inilah yang dijaja oleh golongan yang keliru. 'When the blind leads the blind, they both will end up in the drain'.

Adek-adek dan anak-anak ku, untuk mendirikan satu umat yang kuat maka ia mesti memiliki kekuatan. Kekuatan itu adalah jelmaan dari Islam itu sendiri, Ramuan no wahid yang perlu ada pada umat itu ialah ciri kesajagatannya - atau universalism. Inilah aspek yang pertama-tama kita belajar apabila mula mendekati dakwah iaitu Islam itu sifatnya 'alami. Lain-lain ciri telah sama-sama kita maklumi spt syumul dan inkilabi (merubah).

Ciri alami ini amat jelas pada jamaah Rasulullah SAW seperti yang aku huraikan dalam bhg yang lepas. Sekiranya dakwah ini hanya menumpu kepada bangsa Arab sahaja atau Quraish sahaja maka amt jelas dari senarai 52 orang yang mula-mula menerima dakwah Rasulullah SAW terdapat di sana bukan Arab dan bukan Quraish. Bahkan di kalangan Quraish sekalipun hanya 3 orang sahaja dari keluarga Bani Hashim.

Inilah bibit-bibit kepada pembinaan tamaddun yang hebat seperti yang dihuraikan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitab-ul-iktibar. Ciri-ciri 'inclusiviti' dan 'celebrate diversity' inilah yang memberikan kekuatan kepada umat islam. Ini adalah sunnah dan ini juga yang boleh kita pelajari dari sunnah alam. Dalam Sains tabii sekalipun 'diversity is a measure of sturdiness' (the greater the diversity the more robust the community). Dalam Crop Science - variety is a mark of viability. The lesser the variety the greater the susceptibility to diseases/pest attack. Rumusannya semakin rencam sebuah komuniti semakin utuh dan stabil.

Dakwah kita adalah 'dakwah ilallah' (seruan kepada Allah) , bukan dakwah kepada bangsa (apapun istilah yang diguna - 'kesetiaankah' atau 'ketuanankah' ia membawa maksud yang sama. Cuba kita renung. Kita iklanlah pada kain pemidang di tepi jalan 'Kami menyeru kepada kesetiaan bangsa'. Bagaimanakah bangsa lain memahami seruan ini? Apakah tidak timbul persoalan, 'Apakah aku ada tempat dalam agenda seruan kepada kesetiaan bangsa ini?' Jika aku menyertai mereka, di mana aku boleh berperanan dalam agenda mereka.' Jika kita terus berpegang dengan slogan ini, akhirnya kita akan dapati jemaah kita hanya menghimpun orang melayu. Tidak ada di sana bangsa lain selain melayu, tidak ada bangsa cina, india, benggali, iban, kadazan-dusun, murut, melanau dan sebagainya. Aku jamin perjuangan engkau tidak akan disokong oleh bukan melayu. Bahkan melayu chauvinis dan 'bigot' akan tertarik dengan seruan engkau dan akan merosakkan risalah 'alami' yang engkau bawa. Ibrahim Ali dan PERKASA juga mungkin berkira-kira untuk menjalin kerjasama.

Aku berterus terang dengan engkau orang. Aku bersama dalam satu jamaah yang di dalamnya ada india tulen, Cina tulen, Melanau, Kadazan-Dusun dan ramai lagi yang tidak boleh dikategorikan sebagai melayu.

Lagipun di Malaysia ini, berapa peratuskah orang melayu? Tak sampai 50%. Apakah kita boleh membina kekuatan umat Islam dengan hanya menghimpun orang melayu? Bukankah lebih baik jika seruan Islam kita untuk semua, bukan hanya kepada orang melayu.

"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai. Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulunya (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelematkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk'.

Bangsa Arab tidak pernah mengenal kesatuan sebelum Islam. Sebelum Islam mereka hidup dalam lingkungan suku bangsa masing-masing. Mereka saling bermusuhan dan berbunuh-bunuhan. Begitu kuatnya solidariti (Assobiyah Arab) sehingga apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah SAW mereka bersepakat supaya setiap suku diwakili oleh seorang pemuda yang akan menikam Rasulullah SAW di perbaringannya serentak. Dengan ini Bani Hashim tidak akan membalas dendam kerana semua suku terlibat membunuh Rasulullah SAW. Ini bererti Bani Hashim mempertahankan Rasulullah SAW kerana Assobiyah dan sedia berperang dengan sesiapa sahaja demi membela maruah keluarga yang tercalar dengan terbunuhnya Rasulullah SAW. Sikap ini tergambar pada sesiapa sahaja yang mendukong fahaman Assobiyah. Presiden Kennedy merumuskannya dengan ungkapan ini 'My country, right or wrong!" (My family, right or wrong!' Dalam makna lain aku akan pertahan keluarga aku atau bangsa aku tanpa mengira samada dia benar atau salah). Rumpun bangsa melayu juga tidak pernah mengenal kesatuan sebelum Islam. Mereka hidup salinhg bermusuhan. Bahkan suku Jawa dan Sunda yang sama-sama beragama Syiwa Buddha sebelum Islam tidak pernah bersatu. Mereka membina empayar Pajajaran (Sunda) dan Majapahit (Jawa) yang saling bermusuhan sehinggalah kedua-duanya di satukan di bawah rahmat Islam. Pajajaran diwarisi oleh Kerajaan Islam Banten dan Majapahit diwarisi oleh Kerajaan Islam Demak. Kedua kekuatan baru yang ditemukan oleh Islam bergabung tenaga untuk mengusir Portugis di Laut Jawa dan Selat Melaka.

Bangsa Arab disatukan hati mereka sebelum mereka disatukan. Bangsa melayu disatukan hati mereka sebelum mereka disatukan. Kesatuan ini adalah kesatuan yang bertunjangkan tauhid. Inilah bentuk kesatuan yang memungkinkan umat Islam membina mercu tamaddun yang digambarkan oleh Ibnu Khaldun dalam kitab-ul-iktibar apabila beliau merumuskan teori kitaran tamaddun yang menjadi asas kepada binaan kekuatan Islam pada peringkat permulaannya.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 6

Assalamualaikum,

Masih tidak yakin bahaya bibit-bibit assobiyah boleh meruntuhkan ummat? Jika masih belum, aku nak bawa perhatian kalian ke bumi Palestin, satu subjek yang amat dekat di hati ku. Dalam semua rencana dan buku tentang Palestin yang aku tulis aku tidak (atau belum) mengupas peristiwa kekalahan Palestin dan kejatuhan Khilafah Utsmaniyah dari perspektif Assobiyah.

Dalam buku 'Israel - Kenapa dunia tidak boleh mengiktirafnya" aku telusuri sejarah Palestin dengan menyentuh kelahiran gerakan zionisme dan apakah kesan dari lobi Yahudi ke atas Britain dan kemudiannya Amerika Syarikat dan PBB dalam menentukan masa depan Palestin dan rakyatnya.

Namun konspirasi musuh dan perancangan licik zionis Yahudi hanya menjadi kenyataan apabila umat Islam dihinggapi oleh suatu penyakit yang melemahkan batang tubuh umat Islam dari dalam. Betul! Penyakit itu tidak salah lagi ialah penyakit Assobiyah. Ramai penganalisis dangkal sejarah umat Islam melonggokkan kesalahan itu kepada Wahabbi (tanpa mengetahui secara ilmiah siapa itu golongan Wahabbi). Wahabbiyah atau pengasasnya Imam Muhammad Abdul Wahab sebagai seorang mujaddid tidak ada kena mengena dengan kekalahan umat Islam di Palestin (Bahkan Imam Syeikh Abdul Wahab tidak pernah mengasaskan pemikiran atau aliran Wahabiyyah - beliau berpegang dengan fiqh mazhab Hambali - ahlu sunnah wal jamaah). Biang keladi sebenarnya adalah assobiyah Arab dan Turki. Tidak percaya? Sila rujuk surat-menyurat (correspondence) di antara McMahon (pesuruh jaya British di Mesir dan Syarif Hussein dari Mekah - ya dari Mekah!!) di mana mereka merancang untuk menyusun satu kebangkitan umat Arab untuk menentang Khilafah Utsmaniah yang diterajui oleh bangsa Turki. Lihat bagaimana bisanya racun assobiyah ini apabila British mengirim seorang penasihat (pengadu domba) yang terbilang bernama T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia) mempengaruhi kabilah Arab untuk memerangi orang Turki. Sewaktu pecahnya perang dunia pertama Lawrence of Arabia telah memimpin pasukan Arab untuk menyerang tentera khilafah di Aqaba dan hejaz. Bahkan tentera Arab TE Lawrence bersama dgn Lord Allenby, ketua tentera British di Mesir menyusun serangan ke Damsyik. Di sinilah Lord Allenby memijak kubur Salahuddin al-Ayubbi dan dengan angkuhnya mendabik dada dan mengistiharkan 'pada hari ini tamatlah perang salib!'

Di masa yang sama wujud pula gerakan anti Arab dan apa sahaja yang berbau Arab di Turki. Pemimpin sekular Turki Kamal Attaturk yang bersekongkol dengan agen-agen zionis cuba mengocak sentimen orang Turki dengan menukar tulisan dengan abjad Arab kepada rumi bahkan menyarankan supaya azan dilaungkan dalam bahasa Turki!

Apabila umat Islam sudah berkiblat kepada bangsa - maka perpecahan adalah natijahnya. Samada slogannya berbunyi 'mendaulatkan ketuanan bangsa' atau 'mendaulatkan kesetiaan bangsa' ia adalah ungkapan yang sama. Bahkan ungkapan 'mendaulatkan kesetiaan bangsa' lebih merbahaya seperti arak yang dinamakan sebagai 'spirit' ataupun tonik. Ia tetap haram meskipun diberi nama yang lain atau dihidangkan dalam botol kicap.

Pada masa yang sama berlaku satu peristiwa yang amat besar maknanya bagi umat Islam tetapi tidak pernah disebut dalam sejarah tanah air. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1915 ketika tentera British sedang membuat persiapan untuk berangkat dari Singapura ke timur tengah. Objektif mereka ialah menyerang kepentingan Turki di Afrika Utara, Hejaz dan di Palestin. Tentera British yang berpengkalan di Singapura terdiri juga dari tentera India muslim dan juga askar melayu dari Straits Volunteer Force. Ketika itu sudah beredar fatwa yang dikeluarkan oleh Qadhi di Turki iaitu wajib berjihad menentang musuh-musuh Islam (Jihad Akbar Fardhu Ain). Tentera India muslim dan tempatan yang tahu tentang kewajipan mereka terhadap tuntutan Islam telah berpaling tadah dan melawan pasukan mereka sendiri. Pemberontakan ini terkenal dengan peristiwa 'Dahagi' menyaksikan tentera British menerima pukulan pada tahap awal. Tetapi setelah bantuan diterima dari TSN (timbalan setia negeri Johor) tentera-tentera yang bangkit melawan British berjaya ditangkap dan mereka dikenakan hukuman tembak 'firing squad'. Jumlah tentera yang mengambil bahagian dalam peristiwa Dahagi ini mencecah 1,000 orang.

Apa take home messagenya adek-adek dan anak-anak ku. Siapakah yang telah mengkhianati umat Islam sehingga membawa kepada kejatuhan Bilad-as-Syams (termasuk Syria, Jordan dan Palestin) dan keruntuhan Khilafah? Siapakah pula yang mempertahankan tanah suci dan kepentingan umat Islam walaupun mereka berada jauh dari bumi Palestin? Isunya di sini bukan bangsa apa? Isunya ialah selagi umat Islam meletakkan kepentingan bangsa atau kesetiaan bangsa mengatasi kepentingan umah dan kesetiaan kepada ummah, maka tunggulah saat kejatuhan dan kehancuran. Umat Islam yang meletakkan kesetiaannya hanya kepada Islam akan bersedia kehilangan segala-galanya demi Islam termasuklah mempertaruhkan nyawa mereka. Tetapi umat Islam yang meletakkan kesetiaannya kepada bangsa akan menumpahkan kesetiaan mereka kepada manusia. Kononnya mereka 'setia' kepada bangsa... Percayalah golongan yang kononnya setia mepada bangsa ini tidak akan berfikir dua kali untuk mengkhianati bangsanya sendiri apabila kepentingannya tergugat. Mereka yang setia kepada bangsa ini bersedia untuk menumpahkan kesetiaannya kepada sesiapa sahaja yang boleh menjamin kepentingan dan 'survival' mereka. Sejak dari zaman Portugis, Belanda, British dan Jepun - golongan yang kononnya setia kepada bangsa inilah yang akan menyembah-nyembah 'tuan penjajah' mereka dan siap siaga untuk mengorbankan anak bangsa mereka sendiri bahkan keluarga mereka sendiri!.

Dr Hafidzi MN

Thursday, May 13, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 5

Assalamualaikum,

Menyambung perbicaraan lalu. Kongres Serikat Islam (SI) yang pertama diadakan di Bandung. Dan bahasa rasmi kongres ialah bahasa melayu sedangkan SI bermula di Pulau Jawa. Ia diasaskan oleh seorang ahli perniagaan yang bernama Hj Samanhudi. Beliau telah melantik seorang aristokrat Jawa yang datang dari keluarga ulama iaitu Hj Omar Said Said Cokrominato sebagai Pemimpin Agung SI. Persoalan yang menjadi fokus kita dalam perbincangan ini ialah bahasa melayu yang dipilih untuk menjadi Bahasa rasmi Kongres. Bahkan Bahasa melayu tulisan Jawi menghiasi logo SI yang berlambangkan banteng (kerbau) dan senjata tradisi nusantara. Apa istimewanya bahasa melayu di kalangan suku Jawa yang mendominasi SI ketika itu. Bahkan suku melayu adalah suku minoriti di Nusantara. Bahkan apabila Indonesia memplokamirkan kemerdekaan suku melayu hanya mewakili 12% dari pelbagai suku di Kepulauan melayu Indonesia dan suku Jawa mewakili 40%. Tetapi bahasa melayu yang diangkat menjadi bahasa rasmi Republik Indonesia bukannya bahasa Jawa, bahasa yang ibunda majoriti rakyat Indonesia. Sebabnya adek-adek dan anak-anak ku, bahasa melayu adalah bahasa yang menjadi wahana Islam di nusantara. Bahasa yang miskin dengan perbendahraan kata inilah yang dipilih oleh para du'at yang datang mengembangkan Islam di kepulauan melayu untuk menjadi medium dakwah. Bahasa lain tidak melayakkan untuk memainkan peranan tabligh ini sebab sarat dengan konsep-konsep anti tauhid dan syirik. Bahasa Jawa umpamanya kaya dengan istilah sanskrit sehingga jika bahasa Jawa yang dipilih maka akan kaburlah risalah. Tetapi bahasa melayu yang miskin itu murni dari pelbagai konsep dan falsafah. Lalu bahasa yang miskin diangkat darjatnya dengan dipompa dengan ratusan istilah-istilah Rabbani dan Qurani lalu jadilah ia bahasa ilmu. Dengan pemerkasaan ini bahasa melayu melonjak menjadi bahasa lingua franca yang menghubungkan seluruh suku bangsa di kepulauan melayu bahkan menjadi bahasa perantara dengan pedagang-pedangan dari eropah dan dipertuturkan sejauh Lisbon, Genoa dan Venice. Ulama yang lahir di seluruh pelusuk nusantara menulis kitab-kitab mereka dan menumpahkan buah fikiran mereka dengan menggunakan bahasa melayu. Syeikh Arshad Banjar menulis kitanya dalam bahasa melayu, Syeikh Abdul Rauf Singkili dari Aceh menulis kitabnya dalam bahasa melayu, Syeikh Nuruddin ar-Ranir dari Gujarat yang bermastautin di Aceh juga menulis kitabnya dalam bahasa melayu. Syeikh Yusuf Tajul Khalwati al-Makasiri juga menulis kitabnya dalam bahasa melayu. Begitu juga Hamzah Fansuri, Samsuddin al-Sumaterani dan Syeikh Abdul Samad al-Falembangi. Mereka tidak menggunakan bahasa ibunda dan dialek daerah masing-masing kerana hanya bahasa melayu yang mempunyai perbendahaaran kata yang cukup untuk menjadi bahasa dakwah, bahasa tabligh. Lalu seluruh suku bangsa di kepulauan melayu nusantara yang jumlahnya mencecah 200 lebih suku kaum dari Menado (sulawesi Utara), Ambon dan Maluku sehingga Papua di timur dan Aceh, Mandailing dan Batak di barat menisbahkan diri mereka sebagai rumpun bangsa melayu. Dalam ertikata yang lain bahasa melayu menjadi wahana penyatuan yang pertama di nusantara dan ini hanya mungkin dengan Islam. Islamlah yang telah menyatukan pelbagai suku kaum di nusantara melalui bahasa melayu. Dalam kongres SI yang pertama inilah Hj Omar Said Cokrominato mengistiharkan tuntutan 'self bestuur' iaitu kemerdekaan bagi rakyat di seluruh kepulauan melayu. Pengistiharaan ini dibuat dalam bahasa melayu. Adek-adek dan anak-anak ku. Apa yang boleh kita simpulkan di sini? Bangsa melayu yang rendah martabatnya itu mendapat jatidirinya dari Islam yang telah mewarnai bahasa, budaya dan pandangan hidup (worldview) orang melayu. Demikian tingginya darjat orang melayu yang diperolehinya dari Islam sehingga seluruh suku bangsa di nusantara ini menisbahkan diri mereka dengan bahasa melayu. Dalam ertikata yang lain kehebatan orang melayu adalah kerana Islam. Jika orang melayu hendak mengekalkan kehebatan ini maka pertahankanlah Islam yang ada pada orang melayu. Mempertahankan Islam ini bermaksud mengajak dan menyeru semua manusia yang ada di kalangan mereka (di Malaysia) supaya berpaksilah kepada Islam dan hanya kepada Islam. Jika seruan itu sudah berubah kepada seruan yang menjurus kepada kesetiaan kepada bangsa dan pemerkasaan kepada bangsa maka orang lain akan beransur-ansur menjauhkan diri mereka dari Islam yang menjadi sumber rahmat kepada seluruh manusia. Adek-adek dan anak-anak ku jangan terpedaya dengan slogan-slogan 'Memartabatkan kesetiaan bangsa'. Kesetiaan kita hanya kepada Allah dan Rasulnya. Kita adalah kaum yang menjadi mulia dengan Islam. Maka barangsiapa mencari selain Islam tidak akan menambahkan padanya selain kehinaan'.

Dr Hafidzi Mohd Noor

Monday, May 10, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 4

Assalamualaikum,

Masih lagi kita berbicara tentang Assobiyah melayu? Kini ada di kalangan kita yang menisbahkan dirinya sebagai pejuang melayu Islam? Kalau dulu 'cukup dengan Islam' sahaja. Kini seolah-olah tidak lengkap Islam itu kalau tidak ada predikatnya. Maka ditambahlah di sana 'melayu Islam'. Pastinya ini mendorong saudara-saudara Islam yang lain yang berada di luar kelompok bangsa melayu menamakan pula diri mereka pejuang 'Cina Islam', pejuang 'Kadazan-Dusun Islam', pejuang 'India Islam'.

Tercapailah hasrat tokoh-tokoh imperialis zaman kolonial untuk melihat umat Islam ini kembali dalam kelompok suku dan kabilah masing-masing. Masih ingat Christian Snouck Hurgronje? Seorang tokoh brilliant Belanda yang ditugaskan bagi mencari jalan penyelesaian untuk menundukkan umat Islam Aceh yang degil.

Dengan dasar 'Islam politiek' nya Snouck Hurgronje menyarankan Islam ini dipecahkan kepada tiga aspek. Satu namanya ibadah murni yang mencakupi soal-soal ibadah, satu lagi aspek sosio politik yang mencakupi soal-soal pemerintahan dan pentadbiran. Yang ketiga menyentuh adat istiadat. Sementara umat Islam bebas untuk menjalankan tuntutan ibadah di masa yang sama pemerintah harus bertegas dalam soal siasah dan pentadbiran.

Satu lagi kekuatan umat Islam yang dilihat oleh Snouck ialah perpaduannya. Dia melihat padunya persaudaraan Islam di Mekah. Oleh itu dia menyarankan satu-satunya jalan untuk memecahkan kesatuan umat Islam ialah dengan mengembalikan mereka kepada adat-istiadat sebelum Islam. Jika adat-adat dan kepercayaan lama ini dihidupkan semula maka umat Islam akan kembali menobatkan suku dan kelompok masing-masing. Dalam konteks nusantara mereka akan melihat diri mereka sebagai orang Aceh atau Jawa atau Sunda atau Minang atau Melayu dan ratusan suku bangsa yang lain sebelum mereka melihat diri mereka sebagai sebahagian dari umat Islam.

Untuk memenuhi objektif ini maka dikirimkan sarjana-sarjana seperti NJ Krom dan Brandes untuk membuat kajian ilmiah tentang adat istiadat dan bahasa pertuturan suku kaum di nusantara. Dikirim pula pakar-pakar arkeologi untuk membaik pulih candi-candi lama peninggalan SriVijaya dan Majapahit. Candi-candi ini dijadikan mercu tanda kegemilangan spt Prambanan, Mendut, Borobodur dan sebagainya. Dihidupkan semula epik zaman hindu seperti 'Asmaradana' dan 'Hikayat Pandawa Lima'. Watak-watak hero bagi setiap suku dinobatkan sebagai ikon seperti halnya Hang Tuah (orang melayu) dan Cindor mato (orang Bugis). Aspek-aspek magis dan heroik meskipun tidak Islamic pada watak-watak hero ini diraikan dalam hikayat dan penglipur lara. Dilagakan pula suku melayu dan Jawa melalui watak seperti Hang Tuah.

Snouck amat memahami bahawa di nusantara ini sebelum Islam tidak ada satu faktorpun yang menyatukan mereka. Setiap suku bangsa duduk dalam lingkungan mereka dan melihat suku bangsa lain sebagai pesaing yang perlu ditundukkan. Lantaran itu suku sunda dan Jawa sentiasa berperang meskipun kedua-duanya beragama syiwa-buddha. Orang Sunda membina Kerajaan Pajajaran (Jawa Barat) sedang orang Jawa membina empayar Majapahit (Jawa tengah dan barat). Orang melayu dan Jawa memang tidak pernah sepakat dan sentiasa bermusuhan.

Apakah pendekatan Snouck ini berjaya? Snouck tidak akan mampu meleraikan faktor yang menyatukan umat Islam di nusantara. Kerana faktor penyatuan umat Islam di mana-mana pun di atas muka bumi ini bertolak dari hati nurani. Allah berfirman 'berpeganglah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulu bermusuhan lalu Allah mempersatukan hatimu sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara.. . Bagaimana mungkin persatuan yang tunjangnya adalah tauhid dapat dileburkan. Umat islam diperingatkan 'Sesungguhnya kamu adalah umat yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyembah akan daku'.

Setelah umat Islam ditewaskan dalam medan peperangan fizikal yang parah di Aceh (1873 - 1913), Perang Paderi Minangkabau (1821 - 1837), Perang Diponogoro Jawa (1830 - 35), Perang Banten (1881 - 1888) mereka bangkit kembali mengumpul kekuatan di medan siasah. Apabila Serikat Islam tertubuh pada tahun 1905, umat Islam bangkit dengan kekuatan baru, dengan senjata yang lebih ampuh iaitu perpaduan. Apabila Serikat Islam mengadakan kongresnya yang pertama di Bandung, penyertaan mencecah 80,000 orang dan mereka datang dari Aceh hingga sejauh Makassar bahkan Bali juga menghantar perwakilan. Dalam hanya beberapa tahun pendukung SI mencecah 2 juta orang dari seluruh nusantara merangkumi ratusan suku kaum. Sejarah tidak pernah menyaksikan penyatuan yang sedemikian rupa. Nusantara pernah disatukan di bawah hegemoni politik imperial Majapahit yang ditunjang oleh suku Jawa. Namun penyatuan ini artificial sifatnya dan tidak dapat dipertahankan apabila hegemoni politik Majapahit berakhir di tangan Kerajaan Islam Demak.

Apakah bahasa perantara yang digunakan di dalam kongres SI? Bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu. bahasa pertuturan bangsa melayu diangkat menjadi bahasa rasmi kongres sedangkan suku bangsa melayu adalah suku bangsa minoriti di bandingkan dengan suku Jawa dan Sunda yang menjadi tuan rumah kepada kongres SI. Bagaimana bahasa melayu mengalami lonjakan sedemikian rupa. Apakah ketuanan melayu yang menjadi faktornya?

Wahai adek-adek dan anak-anak ku, mari kita bedah persoalan ini untuk mencari jawapannya dalam siri yang seterusnya InsyaAllah.

Dr Hafidzi MN

Friday, May 7, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 3

Salam,

Dalam siri ke 3 ini aku bawakan pula sejarah jihad di nusantara. Contoh-contoh yang aku tonjolkan boleh menjadi kayu ukur apakah ketuanan Islam atau ketuanan dan kebangsaan melayu yang akan menjamin survival umat Islam di Malaysia ini.

Umum mengetahui pada tahun 1511 kerajaan melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sejarah yang tercatat menggambarkan bahawa kejatuhan Melaka adalah kerana sikap berpuak-puak, menjaga kepentingan kelompok, belot dan berpaling tadah di antara komuniti-komuniti pelbagai bangsa yang ada. Kaum Cina dikatakan telah berpaling tadah dan meminjamkan tongkang-tongkang mereka untuk membantu tentera Portugis mendarat di Melaka. Kaum 'Keling' (ini bukan istilah rasis kerana inilah istilah yang dirujuk untuk kaum ini pada zaman Melaka - hanya kini ia bertukar menjadi derogatory (menghina)) juga dikatakan mengadu domba dan menangguk di air keruh, membuat pakatan dengan Portugis ketika perang sedang berkecamuk. Suku Jawa yang diketuai oleh Utimurtiraja juga memihak kepada Portugis pada saat akhir. Inilah gambaran perpecahan dan pengkhianatan yang mewarnai suasana perjuangan mempertahankan kota Melaka.

Namun satu kenyataan sejarah yang tidak pernah diketengahkan ialah Melaka bukan dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan Melayu semata-mata. Ketika Melaka berada di ambang serangan Portugis dunia Islam telah membuat persiapan-persiapan untuk menghadapi aggresi Portugis di Teluk Parsi, Teluk Benggala dan Selat Melaka. Saat Afonso D'albuqueque mengishtiharkan perang ke atas kerajaan Melaka, sudah terkumpul 20,000 para pejuang muslim dari pelbagai daerah. Mereka adalah satu ketumbukan International yang terdiri dari mujahidin dari Mesir, Farsi, Gujerati, Jawa, Aceh bahkan dari Cina. Sebab itu lukisan yang mengabadikan serangan Afonso ke atas Melaka digambarkan oleh seorang pelukis Eropah sebagai satu peperangan yang mana askar-askar Portugis berhadapan dengan pejuang-pejuang Islam yang memakai serban, bukan tanjak dan dastar melayu.

Dua tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1509, Afonso menghadapi pertempuran yang lebih sengit lagi iaitu di Goa. Pertempuran di Goa menyaksikan Portugis dan umat Islam kalah dan menang silih berganti sehinggalah akhirnya Goa dikuasai oleh Portugis sepenuhnya.Sebagaim ana di Melaka, Goa juga dipertahankan oleh ketumbukan pejuang dari dunia Islam terutama dari timur tengah, daerah teluk Farsi dan umat Islam Gujerati. Kapal-kapal Mesir (dao) bergabung dengan kapal-kapal Farsi menghadapi Galleon dan Fusta Portugis dengan 'firepower' yang jauh lebih 'superior'. Bahkan Portugis berhadapan dengan gabungan umat Islam ini pada hampir setiap medan pertempuran termasuklah di Aden, Socotra, Coromandel, Calicut dan Goa.

Sebab itu Afonso amat jelas apabila dia meletakkan objektif untuk menguasai Melaka dia faham yang dia hadapi bukan Kesultanan Melayu Melaka tetapi dia berhadapan dengan dunia Islam. Langkah awal untuk menghadapi kekuatan umat Islam yang digembelingkan, Afonso lebih dulu membina pakatan dengan kerajaan Hindu Pajajaran di Jawa Barat dan Kerajaan Siam Ayuthaya yang merupakan nemesis (musuh) kepada Melaka. Umat Islam di di Pulau Jawa tidak membiarkan Melaka berseorangan untuk menghadapi kuasa imperialis Portugis. Walaupun Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dua cubaan telah dilancarkan dari Jawa untuk melemahkan kedudukan Portugis di Melaka. Yang pertama ialah serangan Syarif Hidayatullah ke atas Sunda Kelapa (kerajaan Hindu Pajajaran) yang bergabung dengan Portugis. Serangannya ini berjaya mengusir Portugis dari Pulau Jawa dan menjadi titik permulaan kepada kelahiran kota Jakarta. Kedua serangan dari Demak pada tahun 1521 telah berjaya melemahkan kedudukan Portugis di Selat Melaka, meskipun armada dari Demak mengalami kekalahan. Melaka terus mendapat pembelaan dari umat Islam serantau. Serangan bertubi-tubi dari Kerajaan Aceh Darus Salam hampir-hampir berjaya. Kemuncaknya ialah apabila garrison (garisan pertahanan) Portugis berundur dan terdesak di Bukit Senjuang. Pejuang-pejuang Aceh mendaki bukit dengan rencong dan pedang terhunus dan melancarkan serangan bertubi-tubi. Pada saat Pertahanan Portugis hampir musnah, pada ketika itu orang-orang melayu dari Pahang telah datang membantu Portugis dan menyerang pejuang Aceh dari belakang...

Adek-adek dan anak-anak ku. Melihat kepada episod ini siapakah yang telah mengkhianati umat? Kenapakah Pahang datang membantu Portugis dan mengkhianati saudara-saudara seagamanya yang datang untuk berjihad membebaskan Melaka. Sebabnya kerana dendam kesumat yang bersarang dalam dada. Dendam ini tidak terpadam kerana tunjangnya ialah sifat Assobiyah yang telah mengakar di jiwa.

Kalau kita meletakkan sebarang harapan kepada Assobiyah melayu maka sejarah Melaka akan berulang. Serulah kepada Assobiyah Melayu meskipun berselindung di sebalik wasilah, kita akan berhadapan dengan perpecahan umat. Perpecahan ini mungkin terpendam tetapi apabila kepentingan puak tercabar, maka perpaduan islam akan dikorbankan sebagaimana umat Islam di Melaka mengkhianati satu sama lain demi 'survival' puak pada saat-saat genting Melaka diserang oleh Portugis.

Serulah kepada Assobiyah Melayu maka sejarah pengkhianatan orang melayu Pahang ke atas umat Islam Aceh akan berulang. Di saat Melaka hampir dibebaskan ketika itulah kepentingan puak mengatasi kepentingan Islam. Biar Melaka terus terjajah agar ego ketuanan melayu Pahang dapat dipertahankan. ....

Dr. Hafidzi MN

Monday, May 3, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan hubungannya dengan Islam 2

Assalamualaikum,

Adek-adek dan anak-anak ku.

Sekali lagi aku nak bawa satu lagi pengajaran dari sejarah orang melayu dan hubungannya dengan Islam.

Orang melayu bukanlah satu bangsa yang besar dalam sejarah. Dia bangsa yang kerdil sehingga datangnya Islam. Dunia melayu diapit oleh dua tamaddun hebat dan tua iaitu tamaddun Hind (India) di sebelah barat dan tamaddun Sin (Cina) disebelah timur. Kedua-dua tamaddun gergasi ini telah berusia ribuan tahun ketika bangsa melayu hidup dalam kelompok-kelompok suku kaum yang terpisah. Kehidupan mereka serba mudah dan rengkas. Mereka tidak punya sistem pemerintahan yang 'elaborate'. Kepala kampung atau desa hanyalah seorang penghulu atau tuk bathin atau sesiapa sahaja yang 'ditua'kan.

Sistem pemerintahan orang melayu yang tersusun dan bersistem hanya terbit kira-kira 600 tahun yang lalu apabila seorang ketua berpangkat penghulu di sebuah kampung nelayan bernama Parameswara diangkat menjadi Sultan. Sudah menjadi peraturan pada zaman itu kedaulatan sesebuah negeri hanyalah dengan pengiktirafan sebuah kuasa luar yang kuat dan berpengaruh. Persoalannya di sini siapakah kuasa luar yang kuat dan berpengaruh itu yang telah mengiktiraf kedaulatan Melaka. Kedaulatan ini kemudiannya diiktiraf pula oleh daerah-daerah persisiran pantai di Selat Melaka seperti Siak, Rokan, Kampar dan Inderagiri sehingga Melaka menjadi sebuah negeri yang makmur dan mula menunjukkan attribut sebagai sebuah empayar. Melaka pertama kalinya terlepas dari cengkaman Siam yang menuntut Melaka supaya saban waktu menghantar wakil mengadap Raja Ayuthaya mempersembahkan ufti berupa bunga emas. Bagaimana transformasi ini boleh berlaku - dari sebuah kampung nelayan kepada sebuah negara berdaulat dan bermaruah.

Transformasi ini dicetuskan oleh sebuah kuasa besar dunia yang berpusat di Tanah Besar Asia iaitu Cina yang meletakkan dirinya sebagai 'The Middle Kingdom' yang bertanggungjawab untuk mendatangkan kemakmuran kepada dunia luar. Delegasi-delegasi dikirim ke sebarang laut di bawah pimpinan seorang wira laut yang tidak asing lagi iaitu Admiral Zheng He atau 'Cheng Ho' (sebutan orang melayu). Zheng He adalah seorang muslim berasal dari Yunnan (wilayah Cina Selatan) dari keturunan Han (yang beragama Islam). Admiral Muhammad Zheng He telah datang mengunjungi Melaka dan menyampaikan pesan Maharaja Yung Le dari Dinasti Ming yang hebat itu. Parameswara dijemput ke kota terlarang (the forbidden city - Beijing pada hari ini) untuk mengadap Maharaja Yung Le untuk diberi beberapa darjah dan lambang-lambang kebesaran selayaknya kepada seorang pemimpin bagi sebuah negara yang berdaulat.

Tuk Penghulu Parameswara di angkat menjadi Sultan dan dianugerahkan darjah kebesaran, diberikan payung berwarna kuning (sehingga warna kuning menjadi warna diraja), di samping pelbagai hadiah. Maharaja Yung Le juga mengirim 400 orang tukang bangunan untuk membantu Melaka membina masjid-masjid menurut rekaan seni bina Cina.

Wahai adek-adek dan anak-anakku. Bangsa melayu menjadi gah dengan Islam dan lambang-lambang kebesaran orang melayu adalah anugerah bangsa Cina yang lebih dahulu memeluk Islam.

Hari ini kita disibukkan untuk mengembalikan sentimen ke'bangsa'an bangsa melayu kita. Sedangkan siapalah melayu kalau tidak ditopang oleh kekuasaan Empayar Cina yang peneraju-poeneraju adalah umat Islam. Bukan sahaja Zheng He seorang muslim, bahkan sudah ada tanda-tanda sejarah yang menunjukkan Maharaja Yung Le juga besar kemungkinan beragama Islam. Yang pasti permaisuri beliau Empress Ma sudah jelas seorang muslimah.

Sekali lagi jangan terpedaya dengan seruan-seruan berbaur assobiyah atas alasan ini hanya 'wasilah' untuk mendaulatkan Islam. Ditilik dari sejarah kita mewarisi Islam dari dua jurusan iaitu jurusan barat dari Tanah Arab dan Benua kecil India dan dari jurusan timur iaitu Tanah Besar Cina. Pada saat Rasulullah SAW masih hidup sudah ada umat Islam di kalangan bangsa Cina sejauh GuangZhao (Canton) dan Nanjing.

Kalau kita disebukkan dengan penonjolan assobiyah melayu maka kita akan kembali bertolak ke belakang. Sedarlah kehebatan bangsa melayu adalah kerana dinobatkan oleh bangsa lain yang lebih dahulu merasai nikmat Islam iaitu Bangsa Cina dan India.

Bukankah lebih baik kita mengembalikan kegemilangan Islam dengan meninggalkan karat-karat Jahiliyah yang ingin dibangkitkan oleh golongan yang keliru? Bukankah lebih baik jika kita habiskan tenaga dan fikiran kita untuk kembalikan mengislahkan orang melayu, Cina, India bahkan manusia seluruhnya di sekeliling kita tanpa mengira siapakah bangsa dan keturunan mereka. Jika ini kita lakukan maka semua orang akan terbela sebagaimana terbelanya masyarakat melayu Melaka di tangan seorang yang berbangsa Cina.

Sesungguhnya adek-adek dan anak-anak ku tidak ada satu tanaddun Islam pun di dalam sejarah yang dibina di atas kebangsaan Arab atau ketuanan Arab. Semua tamaddun Islam bermula dari Madinahnya sehingga Dimasq, Baghdad, Andalus, Istanbul, Kaherah dan Baitul Maqdis dibina di atas kedaulatan Islam. Siapakah Salman al-Farisi? Siapakah Shuhaib ar-Rumi,. siapakah Bilal dari Habsyah? Siapakah Salahuddin al-Ayubbi? Bahkan siapakah ulama-ulama perawi hadis yang tersohor, Imam Bukhari, Abu Daud, An-Nasaa', Ibnu Majah? Kita akan insaf bahawa mereka ini semua berbangsa muslim yang menenggelamkan semua identiti bangsa kelahiran masing-masing.

'Kami adalah bangsa yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Barangsiapa mencari selain darinya, maka tidak akan menambah padanya selain kehinaan.'

Dr Hafidzi Mohd Noor