Friday, May 7, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 3

Salam,

Dalam siri ke 3 ini aku bawakan pula sejarah jihad di nusantara. Contoh-contoh yang aku tonjolkan boleh menjadi kayu ukur apakah ketuanan Islam atau ketuanan dan kebangsaan melayu yang akan menjamin survival umat Islam di Malaysia ini.

Umum mengetahui pada tahun 1511 kerajaan melayu Melaka jatuh ke tangan Portugis. Sejarah yang tercatat menggambarkan bahawa kejatuhan Melaka adalah kerana sikap berpuak-puak, menjaga kepentingan kelompok, belot dan berpaling tadah di antara komuniti-komuniti pelbagai bangsa yang ada. Kaum Cina dikatakan telah berpaling tadah dan meminjamkan tongkang-tongkang mereka untuk membantu tentera Portugis mendarat di Melaka. Kaum 'Keling' (ini bukan istilah rasis kerana inilah istilah yang dirujuk untuk kaum ini pada zaman Melaka - hanya kini ia bertukar menjadi derogatory (menghina)) juga dikatakan mengadu domba dan menangguk di air keruh, membuat pakatan dengan Portugis ketika perang sedang berkecamuk. Suku Jawa yang diketuai oleh Utimurtiraja juga memihak kepada Portugis pada saat akhir. Inilah gambaran perpecahan dan pengkhianatan yang mewarnai suasana perjuangan mempertahankan kota Melaka.

Namun satu kenyataan sejarah yang tidak pernah diketengahkan ialah Melaka bukan dipertahankan oleh pahlawan-pahlawan Melayu semata-mata. Ketika Melaka berada di ambang serangan Portugis dunia Islam telah membuat persiapan-persiapan untuk menghadapi aggresi Portugis di Teluk Parsi, Teluk Benggala dan Selat Melaka. Saat Afonso D'albuqueque mengishtiharkan perang ke atas kerajaan Melaka, sudah terkumpul 20,000 para pejuang muslim dari pelbagai daerah. Mereka adalah satu ketumbukan International yang terdiri dari mujahidin dari Mesir, Farsi, Gujerati, Jawa, Aceh bahkan dari Cina. Sebab itu lukisan yang mengabadikan serangan Afonso ke atas Melaka digambarkan oleh seorang pelukis Eropah sebagai satu peperangan yang mana askar-askar Portugis berhadapan dengan pejuang-pejuang Islam yang memakai serban, bukan tanjak dan dastar melayu.

Dua tahun sebelumnya iaitu pada tahun 1509, Afonso menghadapi pertempuran yang lebih sengit lagi iaitu di Goa. Pertempuran di Goa menyaksikan Portugis dan umat Islam kalah dan menang silih berganti sehinggalah akhirnya Goa dikuasai oleh Portugis sepenuhnya.Sebagaim ana di Melaka, Goa juga dipertahankan oleh ketumbukan pejuang dari dunia Islam terutama dari timur tengah, daerah teluk Farsi dan umat Islam Gujerati. Kapal-kapal Mesir (dao) bergabung dengan kapal-kapal Farsi menghadapi Galleon dan Fusta Portugis dengan 'firepower' yang jauh lebih 'superior'. Bahkan Portugis berhadapan dengan gabungan umat Islam ini pada hampir setiap medan pertempuran termasuklah di Aden, Socotra, Coromandel, Calicut dan Goa.

Sebab itu Afonso amat jelas apabila dia meletakkan objektif untuk menguasai Melaka dia faham yang dia hadapi bukan Kesultanan Melayu Melaka tetapi dia berhadapan dengan dunia Islam. Langkah awal untuk menghadapi kekuatan umat Islam yang digembelingkan, Afonso lebih dulu membina pakatan dengan kerajaan Hindu Pajajaran di Jawa Barat dan Kerajaan Siam Ayuthaya yang merupakan nemesis (musuh) kepada Melaka. Umat Islam di di Pulau Jawa tidak membiarkan Melaka berseorangan untuk menghadapi kuasa imperialis Portugis. Walaupun Melaka sudah jatuh ke tangan Portugis dua cubaan telah dilancarkan dari Jawa untuk melemahkan kedudukan Portugis di Melaka. Yang pertama ialah serangan Syarif Hidayatullah ke atas Sunda Kelapa (kerajaan Hindu Pajajaran) yang bergabung dengan Portugis. Serangannya ini berjaya mengusir Portugis dari Pulau Jawa dan menjadi titik permulaan kepada kelahiran kota Jakarta. Kedua serangan dari Demak pada tahun 1521 telah berjaya melemahkan kedudukan Portugis di Selat Melaka, meskipun armada dari Demak mengalami kekalahan. Melaka terus mendapat pembelaan dari umat Islam serantau. Serangan bertubi-tubi dari Kerajaan Aceh Darus Salam hampir-hampir berjaya. Kemuncaknya ialah apabila garrison (garisan pertahanan) Portugis berundur dan terdesak di Bukit Senjuang. Pejuang-pejuang Aceh mendaki bukit dengan rencong dan pedang terhunus dan melancarkan serangan bertubi-tubi. Pada saat Pertahanan Portugis hampir musnah, pada ketika itu orang-orang melayu dari Pahang telah datang membantu Portugis dan menyerang pejuang Aceh dari belakang...

Adek-adek dan anak-anak ku. Melihat kepada episod ini siapakah yang telah mengkhianati umat? Kenapakah Pahang datang membantu Portugis dan mengkhianati saudara-saudara seagamanya yang datang untuk berjihad membebaskan Melaka. Sebabnya kerana dendam kesumat yang bersarang dalam dada. Dendam ini tidak terpadam kerana tunjangnya ialah sifat Assobiyah yang telah mengakar di jiwa.

Kalau kita meletakkan sebarang harapan kepada Assobiyah melayu maka sejarah Melaka akan berulang. Serulah kepada Assobiyah Melayu meskipun berselindung di sebalik wasilah, kita akan berhadapan dengan perpecahan umat. Perpecahan ini mungkin terpendam tetapi apabila kepentingan puak tercabar, maka perpaduan islam akan dikorbankan sebagaimana umat Islam di Melaka mengkhianati satu sama lain demi 'survival' puak pada saat-saat genting Melaka diserang oleh Portugis.

Serulah kepada Assobiyah Melayu maka sejarah pengkhianatan orang melayu Pahang ke atas umat Islam Aceh akan berulang. Di saat Melaka hampir dibebaskan ketika itulah kepentingan puak mengatasi kepentingan Islam. Biar Melaka terus terjajah agar ego ketuanan melayu Pahang dapat dipertahankan. ....

Dr. Hafidzi MN

2 comments:

  1. Heh..Mmg xkan jumpa dlm buku sejarah kat Malaysia tu. Pertolongan umat Islam di zaman kesultanan uthmaniyah untuk menolong Melaka xpernah ada langsung dalam sejarah yang kite belajar kat sekolah dulu. Mengapa ea?

    ReplyDelete
  2. Hm,yg tu kene tny kementerian pelajaran la kot..

    ReplyDelete