Monday, May 24, 2010

Belajar dari Sejarah Melayu dan Hubungannya dengan Islam 11

Siapakah dia ibnu Khaldun? Beliau adalah ahli Sosiologi yang tersohor dan mendahului zamannya. Beliau juga menggariskan pelbagai teori ekonomi sebelum negara-negara barat meletakkan dasar ekonomi mereka tiga abad selepas Ibnu Khaldun. Beliau juga telah meletakkan beberapa teori pensejarahan yang turut mempengaruhi jalan berfikir guru besar sejarah Arnold Toynbee.

Aku tidak akan mengupas sumbangan-sumbangan pemikiran Ibnu Khaldun dalam makalah yang kecil ini. Aku hanya akan menyentuh satu aspek sahaja dari pemikiran Ibnu Khaldun iaitu berkaitan dengan bangsa dan tamaddun. Kekuatan bangsa adalah teras kepada suatu tamaddun. Jatuh bangun sesuatu tamaddun di topang atau ditumbangkan oleh bangsa yang mempelopori tamaddun tersebut. Di dalam kitabnya 'Kitab-ul-iktibar', Ibnu Khaldun mengatakan apabila sebuah masyarakat sampai kepada kemuncak kejayaannya, maka dia akan melalui fasa kejatuhan dan keruntuhannya. Pemerhatian inilah yang dirumuskan dalam teori kitaran tamaddun 'the cycle of civilzation' yang turut dikupas oleh Arnold Toynbee 'A study of history'. Justeru dekatnya kaitan di antara bangsa dan jatuh bangunnya tamaddun itu maka Arnold Toynbee mengatakan 'Civilization die from suicide, not from murder'. (Tamaddun mati kerana membunuh dirinya, dan bukan kerana dibunuh).

Ibnu Khaldun ada mengupas tentang bangsa Quraish yang menjadi teras kepada tamaddun Islam. Kekuatan yang ada pada bangsa Quraish adalah faktor penting kepada pembinaan tamaddun Islam. Begitu juga kekuatan yang ada pada bangsa Turki yang menjadi teras kepada Khilafah Uthmaniah yang berlangsung dari tahun 1517 hingga 1924. Sebagai seorang ahli sosiolog yang jempul, beliau melihat dinamika yang wujud dalam sesebuah masyarakat dan merumuskan apakah faktor-faktor kejayaan dan kekuatan sesuatu bangsa. Bangsa Quraish punya semua ramuan untuk membangun sebuah tamaddun Islam yang unggul. Begitu juga bangsa Turki (seljuk) dalam membangun khilafah utsmaniyah. Faktor 'quwwah' yang ada pada bangsa ini menjadikan ia bangsa yang dipandang tinggi oleh manusia. Ia menjadi faktor penyatu. Ibnu Khaldun mengatakan adalah menjadi tabiat manusia sepanjang sejarah untuk tunduk dan meniru bangsa yang menguasai mereka samada secara kekerasan fisik mahupun kerana keterampilan bangsa itu baik dari segi kekuatan ketenteraannya, ekonominya atau budaya ilmunya. Inilah jugalah faktor kejayaan Rom, Byzantium, Sasanid (Farsi), Yunani, Macedonia, Empayar Seberang laut Portugis, Sepanyol, Peranchis, German, Belanda, Empire British, sehingga kini Soviet Russia dan Amerika Syarikat.

Sekarang mari kita ulas pandangan Ibnu Khaldun tentang hubungan bangsa dan tamaddun. Pemerhatian Ibnu Khaldun adalah tepat. Jika teori hubungan di antara bangsa dan tamddun ini dilihat dari perspektif Kitab-ul-iktibar maka tidak wujud percanggahan samasekali. Bangsa Quraish berjaya membina tamaddun Islam yang gemilang bukan kerana mereka bangsa Quraish semata-mata tetapi kerana quality yang ada pada bangsa Quraish. Quality itu diwarisi oleh orang Quraish dari Islam. Dalam ertikata yang lain, orang Quraish menjadi bangsa yang hebat kerana Islamnya. Buktinya sebelum Islam, orang Quraish ialah bangsa yang hidup di tengah-tengah bumi gersang yang tidak dipedulikan kehadirannya di saat dua gergasi besar dunia iaitu Rum dan Farsi sedang bertarung untuk dominasi hegemoni politik. Apakah orang Quraish berjaya mengekalkan kehebatan ini? Tidak! Apabila orang-orang Quraish yang berqiblat kepada Islam beralih kepada kecenderungan dan kesetiaan kabilah maka bibit-bibit kehancuran mulai menggigit kekuatan bangsa Quraish. Kepimpinan mula diwarisi oleh Bani Ummayah. Wajah Assobiyah yang huduh mula melemahkan kesatuan umat Islam sama seperti yang mereka deritai sejak zaman jahiliyah. Perpecahan dan peperangan yang tercetus di antara Bani Umayyah dan Bani Abbasiyah tidak ubahnya apa yang menimpa kabilah Arab jahiliyah dan juga perseturuan di antara Aus dan Khazraj sebelum mereka disatukan oleh Rasulullah SAW atas dasar Islam.Apabila kepimpinan politik beralih kepada Bani Abbasiyah kubur-kubur keluarga Ummaiyah dibongkar dan tulang-temulangnya dipukul dgn melempias dendam yang membara kerana perseturuan kabilah dan Assobiyah.Lengkapla h satu kitaran tamaddun yang digariskan oleh Ibnu Khaldun. Tamaddun Islam bangkit dan gemilang di tangan orang Quraish kerana Islam tetapi tamaddun itu merudum dan hancur ditangan orang Quraish kerana Assobiyah. Tepatlah apa yang dikatakan oleh Arnold Toynbee 'Tamaddun mati kerana membunuh dirinya dan bukan kerana dibunuh'
Apakah yang menyebabkan kejatuhan Kerajaan Umayyah dan Abbasiyah? Untuk mengatakan bahawa kerajaan-kerajaan ini jatuh disebabkan oleh satu atau dua faktor adalah terlalu simplistik. Sebenarnya banyak faktor yang saling kait mengait yang membawa kepada kejatuhan dinasti-dinasti yang pernah berkuasa di dunia samada Islam atau bukan Islam. Bani Umayyah dan Abbasiyah turut melahirkan pahlawan-pahlawan Islam yang boleh dibanggakan. Siapa yang tidak mengenali Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang digolongkan bersama khulafa ar-Rasyidah yang empat kerana wara' dan zuhudnya. Begitu juga Khalifah Harun ar-Rasyid dan Ma'moun yang terkenal dengan kealiman dan kebijaksanaan serta keadilan mereka sehingga meninggalkan legasi dalam sejarah Islam. Tetapi kehairan-kehadiran pahlawan-pahlawan ini tidak cukup untuk menahan arus keruntuhan dan 'decay6' yang sudah mula menggerogoti umat Islam dari dalam.


Apa yang bolih kita pelajari dari Kitab-ul-iktibar dan Muqaddimah Ibnu Khaldun ialah setiap tamaddun ada fasa kebangkitan dan kejatuhannya. Kebangkitan dan keruntuhan itu boleh disandarkan kepada beberapa faktor. Kebangkitan itu sendiri boleh dilihat dari pelbagai sudut, apakah dari sudut kerohanian atau kebendaan. Contohnya zaman Abbasiyah diberi jolokan zaman keemasan (the golden period of Islam). Namun apakah kayu ukur yang digunakan di dalam Islam untuk menilai sesuatu kejayaan. Pastinya pencapaian kebendaan dan infrastruktur bukan nilaian sebenar kemuliaan sesuatu kaum menurut kayu ukur Islam. Bahkan kebangkitan yang berdiri di atas ukuran 'maddi' (kebendaan) di dalam Islam yang tidak seiring dengan kemajuan kerohanian sebenarnya adalah petanda awal kepada kejatuhan dan keruntuhan. Graf menaik itu hanya menjadi impetus yang akan menyebabkan tamaddun itu lebih meluncur laju menuju kebinasaannya.


Apakah yang membawa kepada kejatuhan bani Abbasiyah. Apakah didorong oleh faktor kegersangan kerohanian atau sifat assobiyah yang melulu atau perselisihan kekeluargaan? Ini sebenarnya memerlukan penilitian analisis sejarah yang mendalam. Yang pasti Khalifah Abbasiyah tidak mininggalkan warisnya apabila ia berakhir di hujung pedang Monggol. Jadi jika ditilik dari peristiwa tragis ini pastinya zaman keemasan tidak selayaknya dipakaikan kepada Khilafah Abbasiyah. Masakan Zaman Abbasiyah namanay apabila tidak mampu berdepan dengan orang-orang gasar (barbarian) yang menghabiskan hidupnya di atas pelana kuda sepanjang masa!. Orang-orang gasar ini langsung tidak meletakkan sebarang nilai kepada jutaan helaian kertas yang dinukil seribu satu hikmah dan ilmu oleh para ulama dan sarjana sehingga mereka longgok untuk sekadar dibuat jambatan bagi menyeberangi Sungai Furat...


Mari kita buat perbandingan di antara zaman permulaan Islam dengan zaman pencapaian Bani Abbasiyah. Rasullullah SAW membina suatu komuniti yang terdiri dari kaum keluarga dan sahabat rapatnya. Apabila datang seruan untuk menyampaikan risalah secara terbuka maka Rasulullah SAW pun berdiri di bukit Safa dan menyeru 'Wahai Fatimah, Wahai Banu Hasyim, Wahai Banu Abdul Mutallib, Wahai banu sekian dan sekian.. kepada Islam. Setengah pihak menjadikan ini sebagai sandaran bahawa di dalam Islam ada Assobiyah dan Rasulullah mengambil kira faktor Assobiyah untuk menguatkan Islam. Ini adalah hujah yang paling pelik yang kita pernah dengar. Rasulullah SAW menyeru kepada kaum kelaurganya terlebih dahulu adalah suatu yang dijangka. Adalah satu yang tabii bagi sesiapa jua untuk menyampaikan berita gembira dan ancaman seksa kepada kaum keluarganya kerana hubungan silaturrahim yang wujud di antara anggota keluarga. Natijahnya kita melihat sebahagian besar dari keluarga Rasulullah SAW menolak risalah baginda, bahkan salah seorang dari bapa saudaranya menjadi gembong (ketua) kepada gerakan anti Rasulullah SAW. Kita lihat pula siapa yang menerima ajakan Rasulullah SAW. Di antaranya ialah Bilal Ibnu Rabah orang Habsyah (satu kaum dengan Abrahah). Salman al-Farisi orang Farsi yang menghabiskan usia remaja nya mengembara mencari seorang insan yang bernama Ahmad. setelah melalui pelbagai mehnah akhirnya beliau tercampak ke Yathrib dan orang yang begitu teruja memanjat pokok kurma untuk menyambut seorang nabi yang dijanjikan semasa peristiwa hijrah. Umar al-Khattab dari Banu Adi beriman setelah memusuhi dan berniat untuk membunuh Nabi SAW. Di antara mereka adalah hamba sahaya seperti Yassir, Summayah dan anak mereka Ammar bin Yasser. Di antara merek adalah orang Rum (Byzantin) yang bernama Suhaib ar-Rumi. Kita lihat pula siapa yang menentang Nabi SAW. Di antara keluarga yang berada di barisan hadapan menentang Rasulullah adalah Bani Umayyah. Mereka ini juga tergolong dalam Bani Hashim. Abu Sufyan bin Harb, Hindun Bte Utbah, Al-Walid bin Utbah, Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabi'ah. Semasa perang Badar tiga beranak tampil mencabar tentera muslimin untuk bertarung seorang dengan seorang. Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah dan al-Walid bin Utbah mencabar supaya tampil 3 orang pemuda untuk bertarung secara 'deul'. Tampil lah 3 orang pemuda ansar. Lalu mereka berkata 'kami mahu dari kalangan keluarga kami'. Muncullah ahli keluarga Banu Hasyim iaitu Hamzah bin Abdul Mutallib, Ali bin Abu Talib dan seorang lagi (nanti disemak nama beliau). Pertarunagn ini berakhir dengan tewasnya ketiga-tiga pemuda quraish dan seorang dari pahlawan Islam syahid.


Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa Assobiyah tidaklah menjadi keutamaan dalam Islam. Yang ada ialah silaturrahim. Dan silaturrahim itu akan terlerai apabila iman dan kufur menjadi batasannya.


Lalu dihujahpun pula kes Hatib bin Abi Balta'ah yang membocorkan rahsia kepada orang-orang Quraish tentang perancangan Rasulullah SAW untuk menuju Mekah dalam peristiwa Fathul Makkah. Perbuatan ini diketahui oleh Rasulullah SAW dan Umar menawarkan untuk memenggal Hatib bin abi Balta'ah. Lalu Nabi melarang Umar. Mereka berhujah Nabi melarang Umar untuk membunuh Hatib kerana hubungan Assobiyah yang wujud di antara Hatib dan keluarganya. Mereka menjadikan ini sandaran untuk menyokong hujah dangkal mereka bahawa Assobiyah adalah faktor penting dalam Islam. Ini hujah oarng tak habis mengaji. Apa yang sebenarnya berlaku ialah Nabi melarang Umar meneruskan niatnya untuk membunuh Hatib dengan mengingatkan Umar. Wahai Umar, Kamu lupakah Hatib ini ahli Badr? Ahlul Badar diampunkan dosanya oleh Allah SWT. Jadi perkiraan Nabi adalah berdasarkan kepada status Hatib sebagai ahlul Badar bukan kerana hubungan Assobiyah di antara beliau dan kelaurganya.


Dalam peperangan Badar, 70 orang Quraish tertawan dan mereka ini semua mempunyai hubungan kekerabatan dengan umat Islam. Syura di antara Rasulullah SAW dan para sahabat besar memutuskan bahawa mereka bolih menebus diri mereka. Tetapi Umar berpandangan lain. Mereka patut di bunuh. Ternyata pandangan Umar adalah lebih benar berdasarkan kepada wahyu yang tuirun selepasnya. Rasulullah SAW dan Abu Bakar menangis apabila turunnya ayat yang mengabsahkan pandangan Umar. Jika mereka ini dilepaskan atas dasar Assobiyah mengapa Allah mengatakan mereka sepatutnya dibunuh. Bahkan dua orang tawanan memang dihukum bunuh. Salah seorang darinya adalah merupakan musuh besar kepada Rasulullah SAW yang bernama An-Nadhir bin Al-Harith. An-Nadhir mempunyai seorang adek di kalangan muslimin. apabila An-Nadhir merayu kepada saudaramnya, saudaranya membalas balik 'saudaraku ialah mereka yang kini menawan engkau'


Wahai adek-adek dan anak-anakku, hujah aku belum habis lagi. Tapi setakat ini terserlahlah sudah betapa dangkal nya hujah puak yang mendukong fahaman Assobiyah. wahai adek-adek dan anak-anak ku jangan hanya mendengar. Mulai saat ini bacalah kitab-kitab seerah (bukan 1 bukan 2 kitab seerah - bacalah berpuluh-puluh kitab seerah agar engaku tidak terpengaruh dengan hujah hujah muluk golongan yang keliru. Jangan biarkan dirimu menjadi tawanan mereka. aku tidak menyuruh kalian meninggalkan jamaah kalian. Aku hanya mengingatkan kalian, kalian punya tanggungjawab untuk membetulkan kepimpinan kalian!


Mereka berhujjah lagi Rasulullah SAW berdakwah kepada orang-orang Quraish pada peringkat awalnya dan ini dijadikan sebagai sandaran bahawa Assobiyah adalah sangat diutamakan di dalam dakwah. Wahai anak-anak dan adek-adek ku, mari kita renung dengan fikiran yang jernih. Siapakah yang berada di bumi Mekah ketika itu? bukankah mereka itu semuanya orang Arab dari suku Quraish? Dan kepada persoalan bahawa Bani Hashim menjadi sasaran utama dakwah Rasulullah SAW, mari kita lihat senarai 52 orang yang pertama masuk Islam di Mekah. Mereka ini adalah kelompok yang menerima dakwah Rasulullah SAW semasa fasa dakwah sirriyah belum lagi fasa jahriyah - fasa dakwah terbuka.


Senarai ini aku dapat dari buku 'The Meccan Crucible' tulisan as-Syeikh Zakaria Bashir. Buku inilah yang menjadi rujukan ayah-ayah engkau orang pada tahun 70'an dan 80'an dahulu. Cuba lihat perpustakaan di rumah. kalau ayah engkau kenal dakwah di UK pada era itu most likely buku ini ada dalam simpanan di rumah.




Suku
1. Khadijah Bte Khuwailid Asad


2. Ali bin Abi Talib Hashim


3. Zayd bin Harithah Hashim
(sekutu)


4. Abu Bakar b Abi Quhafah Taym


5. Uthman bin Affan Abd Shams


6. Az-Zubayr al-Awwam Asad (bukan Quraish)


7. Abd Rahman bin Awf Zuhrah


8. Saad bin Abi Waqash Zuhrah


9. Talhah bin Ubaidullah Taym


10. Abu Ubaidah al-Jarrah Fihr


11. Abu Salamah Abd Asad Makhzum


12. Al-Arqam bin Abi Al-Arqam Makhzum


13. Uthman Maz'un Jumah


14. Qudamah b Maz'un Jumah


15. Abdullah b Maz'un Jumah


16. Ubaidah al-Harith Mutallib


17. Said b Zayd Adi


18. Fatimah al-Khattab Adi


19. Asma Abu Baqr Taym


20. Aishah Abu Baqr Taym


21. Aishah Abu Baqr Taym


22. Kabbab al-Arats Zuhrah (sekutu)


23. Umayr b Abi Waqash Zuhrah


24. Amir b Abi Waqash Zuhrah


25. Abdullah b Mas'ud Zuhrah


26. Abdullah b Jash Khuzaymah (bukan Quraish)


27. Abu Ahmad bin Jash Khuzaymah (bukan Quriash)


28. Jaafar Abi Talib Hashim


29. Asma bnit Umays Khath'am (bukan Quraish)


30. Hatib b al-Harith Jumah


31. Fatimah bint al-Mujallah Jumah


32. Hatab al-Harith Jumah


33. Fukayhah Yasar Jumah


34. Mu'amar al-Harith Jumah


35. al-Sa'ib b Uthman Maz'un Jumah


36. al-Mutallib al-Azhar Zuhrah


37. Ramlah bint Abi Awf Sahm


38. An-Nahham Adi


39. Amir b Fuhayrah bukan Arab


40. khalid b Said Abd Shams


41. Umaynah bint Khalaf Khuzaah (bukan Quraish)


42. Hatib Abd Shams Amir


43. Abu Huzayfah Abd Shams


44. Waqid b Abdullah Adi


45. Khalid al-Bukkayr Adi (sekutu)


46. Amir al-Bukayr Adi (sekutu)


47. Iyas b Bukayr Adi (sekutu)


48. ammar bin Yassir Makhzum (sekutu)


49. Suhayb b Sinan Bukan Arab


50. Yasir al-Ansi Dari Yemen (Muzhij)


51. Sumayyah Bint Khayyat Bukan Arab


52. Bilal b Rabah Bukan Arab




Ok mari kita scan senarai ini. Berapakah dari mereka yang mula-mula menerima dakwah Rasulullah SAW dari suku (bani) Hashim. Hanya 3 dari 52 orang! (6% sahaja). Bilangannya sama dengan suku Makhzum (suku atau keluarga Abu Jahl). Bahkan dalam senario di mana majoriti penduduk Mekah adalah orang Arab terdapat 3 orang bukan Arab di dalamnya. Aku ajak kamu renung dengan fikiran yang terbuka. Ini adalah fasa dakwah secara rahsia.


Mari kita buat satu andaian secara hypothetical. apa kata suku-suku itu kita tukar kepada melayu, cina, india, iban, kadazan-dusun, melanau, murut dan yang lain-lain. Maka kita akan dapati satu senarai yang rencam. Pengajarannya Islam ini adalah untuk semua. Dakwah kita kepada seluruh manusia bukan kepada kaum-kaum yang tertentu sahaja. Maka dari mana dakwaan yang mengatakan 'dakwah kepada orang Cina tidak relevant lagi di Malaysia. Inilah yang dijaja oleh golongan yang keliru. 'When the blind leads the blind, they both will end up in the drain'.

Adek-adek dan anak-anak ku, untuk mendirikan satu umat yang kuat maka ia mesti memiliki kekuatan. Kekuatan itu adalah jelmaan dari Islam itu sendiri, Ramuan no wahid yang perlu ada pada umat itu ialah ciri kesajagatannya - atau universalism. Inilah aspek yang pertama-tama kita belajar apabila mula mendekati dakwah iaitu Islam itu sifatnya 'alami. Lain-lain ciri telah sama-sama kita maklumi spt syumul dan inkilabi (merubah).

Ciri alami ini amat jelas pada jamaah Rasulullah SAW seperti yang aku huraikan dalam bhg yang lepas. Sekiranya dakwah ini hanya menumpu kepada bangsa Arab sahaja atau Quraish sahaja maka amt jelas dari senarai 52 orang yang mula-mula menerima dakwah Rasulullah SAW terdapat di sana bukan Arab dan bukan Quraish. Bahkan di kalangan Quraish sekalipun hanya 3 orang sahaja dari keluarga Bani Hashim.

Inilah bibit-bibit kepada pembinaan tamaddun yang hebat seperti yang dihuraikan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitab-ul-iktibar. Ciri-ciri 'inclusiviti' dan 'celebrate diversity' inilah yang memberikan kekuatan kepada umat islam. Ini adalah sunnah dan ini juga yang boleh kita pelajari dari sunnah alam. Dalam Sains tabii sekalipun 'diversity is a measure of sturdiness' (the greater the diversity the more robust the community). Dalam Crop Science - variety is a mark of viability. The lesser the variety the greater the susceptibility to diseases/pest attack. Rumusannya semakin rencam sebuah komuniti semakin utuh dan stabil.

Dakwah kita adalah 'dakwah ilallah' (seruan kepada Allah) , bukan dakwah kepada bangsa (apapun istilah yang diguna - 'kesetiaankah' atau 'ketuanankah' ia membawa maksud yang sama. Cuba kita renung. Kita iklanlah pada kain pemidang di tepi jalan 'Kami menyeru kepada kesetiaan bangsa'. Bagaimanakah bangsa lain memahami seruan ini? Apakah tidak timbul persoalan, 'Apakah aku ada tempat dalam agenda seruan kepada kesetiaan bangsa ini?' Jika aku menyertai mereka, di mana aku boleh berperanan dalam agenda mereka.' Jika kita terus berpegang dengan slogan ini, akhirnya kita akan dapati jemaah kita hanya menghimpun orang melayu. Tidak ada di sana bangsa lain selain melayu, tidak ada bangsa cina, india, benggali, iban, kadazan-dusun, murut, melanau dan sebagainya. Aku jamin perjuangan engkau tidak akan disokong oleh bukan melayu. Bahkan melayu chauvinis dan 'bigot' akan tertarik dengan seruan engkau dan akan merosakkan risalah 'alami' yang engkau bawa. Ibrahim Ali dan PERKASA juga mungkin berkira-kira untuk menjalin kerjasama.

Aku berterus terang dengan engkau orang. Aku bersama dalam satu jamaah yang di dalamnya ada india tulen, Cina tulen, Melanau, Kadazan-Dusun dan ramai lagi yang tidak boleh dikategorikan sebagai melayu.

Lagipun di Malaysia ini, berapa peratuskah orang melayu? Tak sampai 50%. Apakah kita boleh membina kekuatan umat Islam dengan hanya menghimpun orang melayu? Bukankah lebih baik jika seruan Islam kita untuk semua, bukan hanya kepada orang melayu.

"Berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai berai. Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu dahulunya (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelematkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk'.

Bangsa Arab tidak pernah mengenal kesatuan sebelum Islam. Sebelum Islam mereka hidup dalam lingkungan suku bangsa masing-masing. Mereka saling bermusuhan dan berbunuh-bunuhan. Begitu kuatnya solidariti (Assobiyah Arab) sehingga apabila mereka merancang untuk membunuh Rasulullah SAW mereka bersepakat supaya setiap suku diwakili oleh seorang pemuda yang akan menikam Rasulullah SAW di perbaringannya serentak. Dengan ini Bani Hashim tidak akan membalas dendam kerana semua suku terlibat membunuh Rasulullah SAW. Ini bererti Bani Hashim mempertahankan Rasulullah SAW kerana Assobiyah dan sedia berperang dengan sesiapa sahaja demi membela maruah keluarga yang tercalar dengan terbunuhnya Rasulullah SAW. Sikap ini tergambar pada sesiapa sahaja yang mendukong fahaman Assobiyah. Presiden Kennedy merumuskannya dengan ungkapan ini 'My country, right or wrong!" (My family, right or wrong!' Dalam makna lain aku akan pertahan keluarga aku atau bangsa aku tanpa mengira samada dia benar atau salah). Rumpun bangsa melayu juga tidak pernah mengenal kesatuan sebelum Islam. Mereka hidup salinhg bermusuhan. Bahkan suku Jawa dan Sunda yang sama-sama beragama Syiwa Buddha sebelum Islam tidak pernah bersatu. Mereka membina empayar Pajajaran (Sunda) dan Majapahit (Jawa) yang saling bermusuhan sehinggalah kedua-duanya di satukan di bawah rahmat Islam. Pajajaran diwarisi oleh Kerajaan Islam Banten dan Majapahit diwarisi oleh Kerajaan Islam Demak. Kedua kekuatan baru yang ditemukan oleh Islam bergabung tenaga untuk mengusir Portugis di Laut Jawa dan Selat Melaka.

Bangsa Arab disatukan hati mereka sebelum mereka disatukan. Bangsa melayu disatukan hati mereka sebelum mereka disatukan. Kesatuan ini adalah kesatuan yang bertunjangkan tauhid. Inilah bentuk kesatuan yang memungkinkan umat Islam membina mercu tamaddun yang digambarkan oleh Ibnu Khaldun dalam kitab-ul-iktibar apabila beliau merumuskan teori kitaran tamaddun yang menjadi asas kepada binaan kekuatan Islam pada peringkat permulaannya.

Dr Hafidzi Mohd Noor

No comments:

Post a Comment